fish

Saturday, 5 April 2014

Ujub

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
أصحاب استاذ حذري البنداني

TAZKIRAH  HARIAN  : UBATI HATI DARI UJUB.

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ , الْحَمْدُ لِلَّهِ وَالصَّلَاةُ وَالسَّلَامُ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَن وَالَاهُ
 
Firman Allah :

لَقَدْ نَصَرَكُمُ اللَّهُ فِي مَوَاطِنَ كَثِيرَةٍ وَيَوْمَ حُنَيْنٍ إِذْ أَعْجَبَتْكُمْ كَثْرَتُكُمْ فَلَمْ تُغْنِ عَنْكُمْ شَيْئًا وَضَاقَتْ عَلَيْكُمُ الأرْضُ بِمَا رَحُبَتْ ثُمَّ وَلَّيْتُمْ مُدْبِرِينَ (٢٥)

Sesungguhnya Allah telah menolong kamu (wahai orang yang beriman) di medan peperangan yang banyak, dan (ingatlah) peperangan Hunain, iaitu diwaktu kalian ujub karena banyaknya jumlah (mu), Maka jumlah yang banyak itu tidak memberi manfaat kepadamu sedikitpun, dan bumi yang Luas itu telah terasa sempit olehmu, kemudian kamu lari ke belakang dengan bercerai-berai. (QS At-Taubah : 25)

Dari Ar-Robii' bin Anas ia berkata :

قَالَ رَجُل يَوْم حُنَيْنٍ : لَنْ نُغْلَب الْيَوْم مِنْ قِلَّة , فَشَقَّ ذَلِكَ عَلَى النَّبِيّ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَكَانَتْ الْهَزِيمَة ..

"Tatkala perang Hunain seseorang berkata : "Kita tidak akan kalah hari ini karena sedikitnya pasukan (*karena jumlah pasukan kaum muslimin banyak)", maka hal ini pun membimbangkan  Nabi shallallahu 'alaihi wa sallam. Maka terjadilah kekalahan" (Fathul Baari 8/27)

Penjelasan :

Wahai saudara-saudaraku yang beriman!, semoga Allah merahmati kita semua. Semoga kita semua sentiasa dalam peliharaan Allah dari sifat-sifat mazmumah yang merosakkan hati, amal dan akhirat kita.. Dari ayat dan riwayat yang dinyatakan di atas menunjukkan kepada kita betapa bahayanya penyakit ujub sehingga menyebabkan hilang pertolongan Allah kepada kaum muslimin yang sedang berjihad fi sabilillah di awal peperangan hunain.

Sufyan Ats-Tsauri r.h berkata: “Sifat ujub adalah kekagumanmu pada dirimu sendiri, sehingga kamu merasa bahawa kamu lebih mulia dan lebih tinggi darjatnya daripada saudara kamu. Sedangkan boleh jadi kamu tidak beramal dengan benar seperti dia, atau barangkali dia lebih warak daripada kamu terhadap hal-hal yang diharamkan Allah dan lebih tulus amalnya.”

Ujub merupakan penyakit hati yang sangat berbahaya. Rasulullah shallallahu 'alaihi wa sallam bersabda :

ثَلاَثُ مُهْلِكَاتٍ : شُحٌّ مُطَاعٌ وَهَوًى مُتَّبَعٌ وَإعْجَابُ الْمَرْءِ بِنَفْسِهِ

"Tiga perkara yang membinasakan, rasa kedekut  yang ditaati, hawa nafsu yang diikuti dan ujubnya seseorang terhadap dirinya sendiri" (Hadis Sohih Riwayat at-Thobroni dalam Al-Awshoth no 5452)

Perasaan ujub ini boleh kena kepada semua orang, yang alim berilmu, yang kuat ibadah, yang rajin berceramah, yang rajin menuntut ilmu, yang kuat berjuang  dan berdakwah semuanya tidak terlepas dari sifat ujub kecuali mereka yang diberi taufik dan hidayah dari Allah.

Ubat penyakit ujub :

Setiap penyakit ada ubatnya. Begitulah halnya dengan penyakit ujub. islam sentiasa menyediakan penyelesaian yang terbaik. Di antara cara mengatasi sifat ujub ialah :

1) Menginsafi diri bahawa setiap kebaikan yang kita lakukan, sokongan yang diperolehi, amal ibadah yang istiqamah, kejayaan demi kejayaan dalam hidup semuanya itu  hanyalah kerana rahmat dan anugerah Allah. Kita tidak mampu berbuat sesuatu kecuali dengan izin Allah. Bahkan tangan yang menyuap makanan ke mulut pun adalah kerana rahmat dan kasih belas Allah. Tanpa rahmat  dan anugerah Allah pasti kita tidak mampu melakukannya.  Allah berfirman :

وَلَوْلا فَضْلُ اللَّهِ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَتُهُ مَا زَكَا مِنْكُمْ مِنْ أَحَدٍ أَبَدًا وَلَكِنَّ اللَّهَ يُزَكِّي مَنْ يَشَاءُ

Sekiranya tidaklah karena kurnia Allah dan rahmat-Nya kepada kamu sekalian, niscaya tidak seorangpun dari kamu bersih (dari perbuatan-perbuatan keji dan mungkar itu) selama-lamanya, tetapi Allah membersihkan siapa yang dikehendaki-Nya (QS An-Nuur : 21)

2) Qiyamullail dan tafakkur. Bawalah dirimu berkhulwah dengan Allah agar kau sedari betapa kerdilnya engkau di hadapan Allah. Mana mungkin boleh kau berbangga diri sedangkan apa yang kau perolehi bukan hanya kerana usahamu tetapi ia ketentuan Allah yang merajai seluruh alam. Diri yang selalu sujud ditengah malam jauh dari pandangan manusia , penuh dengan keikhlasan akan menyebabkan hatinya juga turut bersujud dan patuh pada perintah Allah.

3) Bergaul dengan para solehin. Atau bacalah kisah manaqib para solehin kerana hidup mereka itu menjadi tauladan, lidah mereka penuh nasihat dan pedoman. Renunglah kisah ini :

Pernah  seseorang melihat imam  Bisyr Al-Haafi yang sedang solat dengan waktu lama dan amat baik ibadahnya. Maka Bisyr berkata kepada orang itu :

لاَ يَغُرَنَّكَ مَا رَأَيْتَ مِنِّي فَإِنَّ إِبْلِيْسَ تَعَبَّدَ آلاَفَ سِنِيْنَ ثُمَّ صَارَ إِلَى مَا صَارَ إِلَيْهِ

"Janganlah engkau terpedaya dengan apa yang kau lihat dariku, sesungguhnya Iblis beribadah kepada Allah ribuan tahun kemudian dia menjadi hamba yang kufur" (At-Taisiir bisyarh Al-Jaami' as-Shoghiir 2/606)

Walaupun ibadah mereka begitu luar biasa namun mereka memiliki rasa takut dan khasyah kepada Allah sehingga  tidak terpedaya dan ujub dengan banyaknya ibadah mereka. Merenung kisah mereka akan menginsafkan kita betapa kerdilnya kita dalam amalan, dakwah, ilmu, perjuangan dan ubudiyyah kepada Allah. Jadi bagaimana boleh kita rasa ujub?

Kesimpulan :

Wahai saudara-saudaraku yang beriman!, setiap detik waktu yang berlalu dalam kehidupan ini amat bermakna buat kita. Penuhilah ruang waktu dan umurmu dengan ibadah dan ketaatan kepada Allah. Berdoa dan merayulah di hadapan Allah agar Allah menjauhkan kita dari ujub dan semua perkara mazmumah yang boleh merosakkan amal kita semua. Berusahalah bersungguh-sungguh agar kau beroleh rahmat Allah yang menyelamatkanmu dari kemurkaan-Nya.

Ya Allah kami memohon rahmat dan perhatian-Mu, anugerahkanlah iman yang teguh, hati yang suci, akhlak yang luhur dan kehidupan yang sakinah. Kuatkanlah kami dengan iman dan yaqin, taqwa dan taat , agar kami tergolong dari kalangan hamba-hamba-Mu yang Berjaya dunia dan akhirat…amen.

Doakan Istiqamah.

وَصَلَّى اللَّهُ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَسَلَّمَ, والْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ  , والعفو منكم....