fish

Sunday, 17 November 2013

RENUNGAN DIHUJUNG MINGGU SEMARAKKAN PELITA KEBIJAKSANAAN MU- Datuk Dr Maznah Hamid

Pada suatu malam di sebuah kampung, seorang buta baru pulang dari menziarahi rumah sahabatnya. Sahabatnya membekal sebuah pelita. Orang buta itu ketawa sambil berkata: “Buat apa saya bawa pelita? Kan sama saja buat saya!

Dengan lembut sahabatnya menjawab, “Ini agar orang lain boleh melihat kamu, jangan sampai orang melanggar kamu.” Akhirnya orang buta itu setuju untuk membawa pelita pemberian sahabatnya.

Dalam perjalanan, seorang pejalan kaki terlanggar si buta. “Hei, kamu kan ada mata! Beri la laluan kepada orang buta!” Sibuta meninggalkan lelaki tadi dengan perasaan tidak puashati.

Tidak lama selepas itu, si buta bertambah marah apabila seorang lagi melanggarnya. “Kamu buta ke? Aku bawa pelita ini supaya senang dilihat!”

Orang itu menjawab, “Kamu yang buta! Kamu tidak lihat, pelitamu sudah padam!” Si buta terdiam.. Menyedari situasi itu, lelaki tadi meminta maaf, “Oh, maaf, sayalah yang ‘buta’, saya tidak melihat bahawa anda adalah orang buta.”

Si buta tersipu-sipu, “Maafkan saya juga atas kata-kata kasar saya.” Lelaki tadi membantu menyalakan kembali pelita yang dibawa si buta. Mereka pun meneruskan perjalanan masing-masing.

Tidak berapa lama selepas itu, si buta tadi dilanggar buat kali ke tiga. Kali ini, si buta lebih berhati-hati, dia bertanya dengan penuh sopan, “Maaf, adakah pelita saya telah padam?”

Lelaki itupun terus menjawab, “Saya sebenarnya mau bertanyakan hal yang sama.” Mereka senyap seketika dan secara serentak mereka bertanya, “Adakah anda orang buta?” Secara serentak pun mereka menjawab, “Iya.,” apa lagi berderai-derai mereka ketawa sambil masing-masing cuba membantu mencari pelita yang habis berteraburan diatas jalan.

Sahabatku, cuba kita renungkan cerita diatas berkaitan sebuah KEBIJAKSANAAN, KEPERIHATINAN dan KERENDAHAN HATI… Betapa gelap dan butanya kita tanpa pelita kebijaksanaan… ramai yang ego antara kita, tidak prihatin sesama kita, begitu mudah menghakimi dan menyalahkan “orang lain”, padahal mungkin juga pelita kita yang telah padam..dimana hilangnya kerendahan hati untuk minta maaf?

Bila mata tanpa penghalang, hasilnya adalah penglihatan. Jika telinga tanpa penghalang, hasilnya adalah pendengaran. Hidung yang tanpa penghalang dapat menghidu. Maka, fikiran yang tanpa penghalang hasilnya adalah kebijaksanaan...

Bidalan mengatakan, Sejuta pelita dapat dinyalakan dari sebuah pelita, dan nyalaan pelita pertama tidak akan malap. Pelita kebijaksanaan pun, tidak akan pernah habis walau dikongsikan.


Sudahkah kita suluh kedalam diri masing-masing? Jika sudah, adakah nyalaannya masih terang, atau nyaris padam? JADILAH PELITA, bagi diri mu sendiri dan rakan disekelilingmu. 

No comments:

Post a Comment